Jul 28, 2024 - FASSelangor FC meraih tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/25 setelah menewaskan Penang FC dengan keputusan 4-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada malam Sabtu.
Gol pembukaan perlawanan #SFCPEN telah dijaringkan oleh Mukhairi Ajmal pada minit ke-3 setelah menerima hantaran pantas Alvin Fortes sebaik sahaja beliau berjaya mengelirukan Adib Ra’op sebelum gol tersebut terhasil. Perlawanan semakin rancak di separuh masa kedua selepas Penang FC berjaya menyamakan kedudukan dengan jaringan penalti Rafael Victor pada minit ke-63. Tujuh minit selepas jaringan tersebut, Yohandry Orozco membantu meletakkan skuad Red Giants kembali satu gol di hadapan selepas menjaringkan gol penalti pada minit ke-70. Kemudian, Alvin Fortes terus menunjukkan taringnya dengan menjaringkan gol sepakan percuma yang cukup menakjubkan pada minit ke-89 perlawanan. Gol terakhir semalam telah dijaringkan oleh Quentin Cheng pada minit ke 90+9.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, kemenangan ini adalah hasil kerjasama yang tinggi dalam pasukan, “Alhamdulillah, kami gembira dengan tiga mata ini. Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil daripada kerjasama pasukan yang sangat baik daripada pemain-pemain. Dalam masa yang sama, saya suka akan keinginan yang tinggi mereka pamerkan di separuh masa kedua dan saya yakin kita ada personaliti pemain yang mampu berikan dinamik dalam perlawanan. Kita nak bawa perlawanan yang baik ini untuk dua perlawanan minggu hadapan. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan saya lihat kita mampu mengelakkan daripada dibolosi, ini lah antara perkara yang kami sedang usahakan dari masa ke semasa,” jelas Nidzam Jamil.
Daripada perlawanan #SFCPEN dalam saingan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Jaringan gol pertama tiga pemain
Tiga jaringan gol dalam perlawanan #SFCPEN semalam menjadi gol pembukaan buat Mukhairi Ajmal; gol pertama musim 2024/25, Alvin Fortes; gol pertama saingan Liga Super 2024/25 dan gol pertama Quentin Cheng sepanjang berama skuad Merah Kuning.
Alvin Fortes sebagai Man of The Match #SFCPEN
Semakin serasi dengan kancah Liga Malaysia, Alvin Fortes terus mempamerkan aksi cemerlangnya dalam perlawanan semalam. Beliau secara tidak langsung telah terlibat dalam setiap percubaan dengan kelebihan individu yang dimilikinya. Fortes berjaya menjaringkan satu gol sepakan percuma pertama musim ini pada minit ke-70 dan merupakan pemain yang ‘assist’ jaringan Mukhairi Ajmal pada minit ke-3 semalam. Secara keseluruhan, Fortes telah menjaringkan tujuh gol; enam di Piala FA dan satu di Liga Super dan tiga bantuan gol setakat ini bersama skuad Gergasi Merah.
Selangor FC amat berterima kasih kepada para penyokong yang terus bersama pasukan dalam setiap perlawanan. Sorakan suara, tenaga dan sokongan anda semestinya satu motavasi buat para pemain.
Skuad Gergasi Merah akan mengharungi dua perlawanan bagi minggu hadapan; 31 Julai menentang Sri Pahang FC di Stadium Temerloh bagi saingan Liga Super dan 3 Ogos menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ untuk perlawanan Separuh Akhir kedua saingan Piala FA.
Demi Kebanggaan!